Setiap pagi, suara mereka sering menghiburkan pendengar yang menantikan maklumat terkini yang diselitkan dengan komedi.
Lima tahun bersiaran, JoHaRa Pagi Era yang dikendalikan Johan, Haniff dan Ray buat julung kalinya menganjurkan program Sarapan Pagi JoHaRa Pagi Era yang berlangsung di Teh Tarik Place, Nu Sentral.
Pengurus Kanan Kandungan Era FM Nazri Noran berkata, program itu diadakan bagi mendekatkan tiga penyampai ini dengan media di samping memberi peluang kepada pendengar melihat sendiri bagaimana ia berlangsung.
“Tahun ini, kami meraikan tahun kelima JoHaRa Pagi Era dan ia program paling lama bersiaran di Era FM. Setiap minggu program ini mencatat rating 2.7 juta pendengar.
“Program sarapan sebegini jarang dibuat dan kami buat di luar bagi membolehkan rakan wartawan menyertainya. Pada masa yang sama, kami dapat berkongsi cerita terbaru dunia hiburan,” katanya.
Tambah Nazri lagi, program sarapan itu turut memberi peluang kepada pendengar mengenali orang dibelakang tabir dengan lebih dekat.
“Selain berbual, Johan, Haniff dan Ray menemu bual rakan wartawan yang berkongsi mengenai kehidupan dan rutin tugas mereka,” katanya lagi.
Ditanya sama ada program itu akan diteruskan, Nazri memaklumkan pihaknya merancang untuk menganjurkan siri kedua Sarapan Pagi JoHaRa Pagi Era.
“Kami dalam proses menghasilkan aplikasi yang membolehkan penyampai mengadakan siaran luar secara bergerak. Siapa tahu mungkin selepas ini kami kami bersiaran dari kenderaan awam seperti LRT dan sebagainya.
“Insya-Allah, dalam tempoh dua tiga bulan lagi, aplikasi itu boleh digunakan,” kata Nazri.
Bagi Haniff, bergandingan dengan Johan dan Ray selama lima tahun satu pengalaman cukup berharga.
“Pada awalnya memang ada rasa kekok. Ada ketikanya kami terpaksa mengangkat tangan bagi mengelakkan pertembungan dalam penyampaian.
“Selepas empat bulan, kami kian serasi dan tahu peranan masing-masing dalam menghangatkan JoHaRa Pagi Era. Diam tak diam sudah lima tahun kami bersama,” katanya.
Bagi Ray pula, mereka bertiga saling melengkapi antara satu sama lain.
“Kami tidak sempurna namun apabila bergabung segala kekurangan dapat diatasi.
“Masing-masing ada kekuatan. Johan terkenal dengan jenakanya dan saya mengikut rentaknya manakala Haniff pula bertanggungjawab menjaga had kami supaya tidak lari daripada subjek utama,” kata Ray.
Sementara itu Johan yakin gandingan mereka mampu menghiburkan pendengar sekiranya mereka sendiri terhibur.
“Kalau kita sendiri tidak seronok dengan apa yang kita buat, bagaimana kita mahu hiburkan pendengar. Jadi, semuanya berbalik kepada diri sendiri.
“Bagi saya, kalau ada yang melabelkan JoHaRa Pagi Era sebagai program syok sendiri, mereka bukanlah pendengar setia Era FM,” katanya.
Mengulas perihal persaingat sengit stesen radio swasta yang menampilkan pelawak sebagai teraju utama, Johan berkata mereka tidak berasa tergugat dan yakin dengan sokongan peminat.
“Kami bekerja keras mencari pengisian terbaik untuk dipersembahkan kepada pendengar. Persaingan tentu ada, jadi kami perlu berikan yang terbaik.
“Dengan adanya sokongan pendengar, saya yakin kami akan tetap kekal di hati peminat,” katanya.
Selain menemu bual rakan media, pendengar dan orang ramai yang menonton, program itu dihangatkan lagi dengan persembahan akustik penyanyi Hanie Soraya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:02 AM
0 Response to "Sarapan Pagi ERA, JOHARA Dekatkan Diri Dengan Peminat. Projek Terbaru ERA. Anda Pasti Terkejut Dengan Aktiviti Yang Bakal Dibuat. Jom Terjah"
Post a Comment