ADA banyak sebab kenapa rumah tangga sering menghadapi kehancuran, ada sebab orang ketiga, suami isteri curang atau memang ditakdir jodoh hanya setakat itu.
Tetapi bagaimana jika rumah tangga yang dibina tidak disertakan dengan keikhlasan dan rasa tanggungjawab untuk hidup bersama sebagai suami isteri dengan bahagia?
Apa akan jadi jika si suami mengaku yang dia tidak suka perempuan dan mahu perkahwinan ditamatkan? Siapakah yang teraniaya dalam perkara ini, jawapannya sudah tentu perempuan.
Inilah kisah yang akan saya kong¬¬sikan dengan pembaca minggu ini. Kisah benar dan jarang berlaku tetapi ia terjadi di dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin kacau bilau ini.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh ibu kepada mangsa yang merasa sangat menyesal memaksa anaknya berkahwin dengan anak teman baiknya yang belajar di luar negara dan berjawatan tinggi.
Sebagai iktibar dan teladan, kita ikuti cerita Puan Maz (bukan nama sebenar) kepada saya. Mudah- mudahan kita mendapat pengajaran dari kisah yang Puan Maz dan anaknya lalui ini.
Inilah ceritanya.
“Saya seorang pesara berumur lewat 50-an dan bersuami. Saya kenalkan diri sebagai Puan Maz. Saya mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya sudah dewasa dan mempunyai kehidupan mereka sendiri. Anak bongsu saya Min, (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun.
“Dua orang abangnya telah bernikah dan tinggal berasingan. Saya sudah mempunyai tiga orang cucu. Hidup saya bahagia dengan adanya anak menantu dan cucu.
“Tetapi di dalam bahagia itu saya bersedih kerana Min tidak menikmati hidup seperti mana yang saya inginkan. Dia gagal dalam rumah tangga gara-gara perbuatan saya. Sampai sekarang saya masih merasa bersalah terhadap dia.
“Sampai hari ini, saya sangat menyesal dan kasihankan dia. Tetapi dia rilek sahaja dan tidak menunjukkan rasa marah dengan saya. Namun, saya tahu dia menyimpan perasaan kecewa yang amat sangat dengan apa yang telah dia alami.
“Ceritanya begini, lebih kurang enam tahun lalu, saya telah mencari jodoh untuk Min. Sahabat baik saya, Maria (bukan nama sebenar) ada seorang anak lelaki, Adli (bukan nama sebenar) yang baru balik belajar dari luar negara berkelulusan dalam bidang kejuruteraan.
“Sebaik sahaja anaknya itu balik ke Malaysia setelah tamat belajar, kami merancang untuk berbesan dan menjodohkan anak-anak kami kerana ingin merapatkan hubungan baik kami sebagai sahabat. Hajat kami Allah makbulkan.
“Anak saya tidak membantah, begitu juga dengan anak Maria. Majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah dihadiri saudara mara jauh dan dekat serta sahabat handai.
“Saya sangat gembira kerana hajat untuk berbesan dengan Maria tercapai, begitu juga dengan suami. Doa kami sebagai ibu bapa tentunya untuk melihat rumah tangga mereka bahagia hingga ke syurga.
“Sayangnya itu tidak berlaku. Min menderita zahir dan batin. Adli bukan seorang suami yang boleh dia bergantung hidup. Dia tidak suka perempuan. Tanpa kami duga Adli sebenarnya seorang gay. Dia ada teman lelaki yang menjadi pasangannya semasa belajar di luar negara.
“Perkara ini terbongkar pada satu hari apabila saya terserempak dengan Adli bersama lelaki itu di rumah mereka semasa saya membuat kunjungan mengejut tanpa memberitahu kedatangan kami ke rumah mereka.
“Saya hampir pengsan melihat aksi Adli dan pasangannya, begitu juga mereka. Suami saya hampir hendak belasah Adli tetapi saya sempat melarangnya. Kami hubungi Maria dan suaminya untuk bersemuka. Anak saya juga dipanggil untuk mendengar sendiri apa sebenarnya berlaku.
“Hajat saya dan suami untuk membuat kejutan kepada anak me¬¬nantu kami berakhir dengan kesedihan. Bertambah sedih dan kecewanya saya apabila mendapat tahu Min tidak tinggal di rumah itu bersama Adli, sebaliknya menyewa bersama kawan-kawannya.
“Malam itu semuanya terbongkar, rupa-rupanya anak saya telah merahsiakan perkara ini daripada kami kerana tidak mahu kami susah hati. Kami tidak tahu apa yang berlaku selepas mereka berkahwin kerana kedua-duanya menunjukkan kemesraan apabila berkunjung ke rumah kami. Macam suami isteri lain. Tidak ada tanda-tanda mereka ada masalah.
“Saya mengucap panjang men¬dengar cerita Min mengenai rumah tangganya. Sepanjang malam, saya menangis. Saya menyesal sungguh-sungguh kerana menyuruh dia berkahwin dengan Adli.
“Maria dan suami pula tidak tahu perangai anak mereka. Saya juga tidak boleh nak marahkan mereka sebab Adli menetap lama di luar negara. Masa dia balik cuti tidak nampak sikap pelik pada dirinya, kata Maria.
“Akhirnya Adli mengaku yang dia tidak suka perempuan dan mempunyai teman lelakinya sendiri. Dia mengaku bersalah dan mengabaikan anak saya. Sejak kahwin selama tiga bulan, dia tidak pernah sentuh anak saya.
“Berderai air mata saya memikirkan perkara ini, kasihan anak saya, menjadi mangsa keadaan. Walaupun sedih, saya menyifatkan ini ujian Allah kepada saya dan keluarga terutama kepada Min.
“Setelah Adli membuat pengakuan, akhirnya dia menceraikan anak saya dengan talak satu di hadapan kami semua. Air mata saya menitis lagi. Kali ini, bukan air mata gembira tetapi air mata sedih dan menyesal.
“Saya tidak boleh mengubah ke¬adaan lagi. Semuanya sudah berlaku. Saya kena reda. Anak saya sa¬¬ngat kuat dan tabah. Dia tidak menunjukkan sedihnya tetapi saya tahu hatinya menangis.
“Min tentu malu dengan kawan-kawan dan jiran tetapi saya yakin dia akan pulih dan kembali hidup seperti biasa. Selepas kejadian itu, Min minta ditukarkan ke selatan tanah air. Dia mahu lari dari segala kekusutan yang mengingatkan dia tentang pengalaman pahitnya itu.
“Sampai sekarang, setelah enam tahun, Min langsung tidak pernah bercakap tentang jodoh. Malah dia tidak akan menghadiri majlis perkahwinan walaupun saudara sendiri.
“Saya sangat sedih dengan keadaan tersebut dan selalu berdoa supaya Allah buka pintu hatinya untuk menerima lelaki lain sebagai suami. Saya harap dia akan melupakan apa yang telah berlaku.
“Tetapi sampai hari ini, dia tetap begitu, bersahaja dan tidak banyak cakap. Saya tahu dia masih sedih dan malu dengan apa yang berlaku. Ramai yang masuk melamar tetapi dia tidak mahu. Saya juga tidak berani lagi memaksanya. Saya sangat menyesal dengan apa yang telah saya buat dalam perkahwinan pertamanya sebelum ini, jadi saya tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Sebagai ibu, saya sangat menyesal dan sedih. Apabila melihat abang-abangnya hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak mereka, saya memangis mengenangkan nasib Min. Sepatutnya sebagai anak bongsu, dia juga bahagia seperti mereka.
“Itulah yang dikatakan ketentuan Allah, saya akur dengan janji Allah dan berharap satu hari, Min akan bertemu jodoh dengan lelaki yang benar-benar memberi kasih sayang dan perlindungan kepadanya sehingga ke hujung nyawa.
“Saya mendoakan supaya Min bahagia dengan caranya dan berjaya dalam kerjayanya sekarang, paling saya berharap semoga dia akan bertemu jodoh secepat mungkin,’’ pinta Puan Maz sebak.
Saya dapat merasakan hancurnya seorang wanita diperlakukan begitu oleh suami yang diharap dapat menjadi tempat berlindung. Saya juga faham perasaan Puan Maz. Jangan salahkan diri sendiri dengan apa yang terjadi, sebab semuanya ketentuan Ilahi.
Tetapi anggaplah ini sebagai ujian Allah untuk hamba-Nya. Allah menguji mereka yang dia sayang. Ujian ini sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi.
Saya juga berharap Allah makbulkan doa Puan Maz untuk melihat anaknya Min bahagia seperti orang lain. Tetapi satu perkara yang perlu kita ingat, kita hanya melihat tetapi Min yang merasa. Apa pun jangan putus berdoa Puan Maz, doa seorang ibu mujarab, mudah-mudahan Min akan bertemu lelaki yang sesuai untuk menjaganya nanti.
Menamatkan catatan, sepatah kata dari saya, kehidupan bagaikan perahu kecil di laut, terumbang-ambing dipukul ombak tetapi ber¬kat usaha dan kepayahan melawan ombak dan badai itu, akan sampai juga perahu kecil itu ke daratan.
0 Response to "Saya Dan Suami Bagai Rasa Nak Giler Bila Melihat Menantu Kami Dan Pasanganya Bertindih Dalam Bilik Tidur Utama Kami. Allahuakhbar, Saya Pitam... Bila Sedar Ja Dia Dah...."
Post a Comment