Kod Baru Penerbangan Diperkenal, Penumpang Layak Tuntut Pampasan Jika Penerbangan Ditunda



Mulai 1 Julai lalu di bawah kod baru penerbangan, penumpang yang sudah membeli tiket layak untuk mendapat pampasan jika mereka menghadapi masalah dengan penerbangan yang digunakan, lapor The Star Online.

Tuntutan pampasan boleh dilakukan jika beg bagasi mereka hilang, penerbangan ditunda dan dilarang menaiki pesawat.

Bagi penumpang yang mengalami masalah penerbangan ditangguh melebihi dua jam, mereka layak mendapat makanan, panggilan telefon terhad dan akses Internet, manakala penginapan hotel dan pengangkutan perlu disediakan untuk penangguhan melebihi lima jam.

Kesemua yang disebutkan itu adalah piawaian minimum bagi memastikan hak penumpang udara terjamin di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Penumpang yang mengambil insurans perjalanan akan dibayar pampasan, manakala yang tidak membeli insurans juga turut dilindungi di bawah kod tersebut


Pengarah Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pushpalatha Subramaniam berkata, kod piawaian itu tertakluk kepada semua syarikat penerbangan Malaysia dan asing yang mendarat di semua lapangan terbang dalam negara ini.
Berdasarkan kod itu, syarikat penerbangan perlu mendedahkan tambang penuh termasuk pecahan tambang dan cukai, tetapi pelanggan dilarang untuk menambah perkhidmatan seperti insurans perjalanan atau bayaran bagasi secara automatik.

Selain itu, syarikat penerbangan perlu mengambil tempahan daripada golongan Orang Kurang Upaya(OKU) dan turut membayar pampasan  bagi kelewatan penerbangan, pembatalan penerbangan, pampasan untuk bagasi rosak, hilang atau lewat tiba ke destinasi.

“Kami menggalakkan pengguna membuat aduan dengan syarikat penerbangan secara terus di lapangan terbang. Jika tiada penyelesaian dalam tempoh 30 hari, mereka boleh mengadu kepada kami,” katanya.

Menurut beliau lagi, sejak Mei lalu sehingga kini mereka telah menerima kira-kira 100 aduan melalui www.mavcom.my. - Siakapkeli.my


by noreply@blogger.com (isu kaki panas) via Berita Isu Panas
Download

0 Response to "Kod Baru Penerbangan Diperkenal, Penumpang Layak Tuntut Pampasan Jika Penerbangan Ditunda"

Post a Comment