Kota Baru larang Ameng menyanyi tanpa sebab









 





Kota Baru larang Ameng menyanyi tanpa sebab, kata penganjur

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) menyekat Ameng Spring menyanyi dalam persembahan di bandar itu tanpa menyatakan alasan, kata penganjur.

“Kami hanya diberitahu oleh pengurus acara yang berurusan dengan MPKB, Ameng tidak dibenarkan membuat persembahan hari Isnin lepas,” kata satu sumber Suria FM.

“Bagaimanapun, sebab-sebabnya tidak pula dijelaskan secara terperinci,” kata sumber lagi ketika dihubungi ProjekMMO hari ini.

Ameng, nama glamor Wan Aminuddin Wan Ismail, asalnya dijadual menyertai jelajah stesen radio Suria FM di AEON Mall, Kota Baru esok tetapi dibatalkan saat akhir.

“Saya sedih mengapa saya tidak dibenarkan menyanyi sedangkan saya lelaki dan bukan berpakaian seksi macam wanita, saya fikir mungkin sebab saya bekas banduan dan bekas penagih dadah,” katanya seperti dilapor mStar Online hari ini.

“Tidak mengapalah, saya anggap ia sebagai ujian, walaupun saya tidak menyanyi, saya akan datang memeriahkan majlis itu.”

Diminta mengulas sekatan tersebut, yang dipertua MPKB Zamri Ismail berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya sedang mendapatkan maklumat mengenai perkara ini daripada pegawai yang terlibat,” katanya kepada ProjekMMO.

Exco kerajaan tempatan Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood juga tidak menyedari masalah tersebut.

“Saya tidak dimaklumkan dan tidak ada maklumat mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi.

Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Malacca pada April 2011 atas tiga kesalahan, dua daripadanya kes memiliki dadah.

Namun beliau dibebaskan Jun lalu selepas diberi pengampunan kerana menunjukkan kelakuan dan disiplin yang cemerlang.

by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT
Download

0 Response to "Kota Baru larang Ameng menyanyi tanpa sebab"

Post a Comment