SEREMBAN - “Leha oh Leha... mari sini kejap. Ada orang nak interviu masuk Sinar Harian ni,” panggil Othman Saad, 60, kepada rakan sekerjanya.
Sejurus kemudian, kelihatan seorang wanita berbaju merah dan berseluar hitam menyahut sambil bergegas menuju ke arah penulis.
Namanya, R Solaiga, 50, dan sudah hampir sembilan tahun bekerja di bahagian pembersihan di Bangunan Seremban Plaza, Jalan Datuk Muda Linggi, di sini.
Othman pun menyuruh penulis menutup mata dan mendengar percakapan wanita dipanggil Leha.
“Hah... sekarang betul tak apa pakcik cakap? Kalau tak tengok empunya diri, ramai tak percaya Leha ni bangsa India. Langsung tak ada pelat.
“Sebab tu kami panggil dia Leha. Tambah lagi, mukanya kalau pandang sekali imbas, nampak macam Melayu berdarah kacukan,” katanya.
Mendengarkan penjelasan Othman, timbul keinginan dalam hati penulis untuk mengenali Leha lebih dekat.
Pada mulanya dia tampak agak segan untuk ditemu bual, namun akhirnya bersetuju selepas dipujuk beberapa kali.
“Nama ni dah lekat sejak dulu lagi. Masa kerja di kilang kasut, kilang elektronik dan dobi hotel pun orang dah panggil Leha.
“Alasan mereka, lebih mudah panggil Leha berbanding Laiga. Bunyinya pun seakan-akan sama. Faktor lain pula, macam Abang Othman cakap tadi,” katanya.
Pada awalnya, kata Leha, sedikit sebanyak terdetik rasa sedih apabila diberi nama panggilan sedemikian.
“Kalau mak ayah saya tahu, mesti sayu hati mereka sebab dah susah payah cari nama Solaiga tapi lama-kelamaan, saya boleh terima.
“Lagipun bila difikirkan balik, itu tanda orang hormat pada saya. Mereka rasa lebih mesra bila panggil saya dengan nama Leha,” katanya.
Lebih melucukan katanya, ada juga mempertikaikan dirinya kerana memakai tanda pada dahi sepertimana kelaziman kaum India lain.
“Tak cukup dengan tu, ada juga yang beri salam pada saya. Terpaksalah saya terangkan pada mereka perkara sebenar,” katanya.
Ditanya bagaimana dia fasih berbahasa Melayu, kata Leha, dia bertuah kerana mempunyai rakan dan kenalan yang sudi memperbetulkan percakapannya.
“Sejak zaman sekolah di Bahau lagi, saya suka bercampur dengan pelbagai kaum. Dari situ, saya sentiasa cuba perbaiki bahasa Melayu saya,” katanya.
Kalai gemar pakai skarf
Selesai kisah Leha, timbul pula kisah K Kaliyani, 56, yang sudah setahun lebih bekerja di bangunan berkenaan.
Menurut salah seorang pengawal keselamatan di situ, Mad Ali Ujang, 63, Kaliyani memiliki keunikan tersendiri kerana gemar memakai skarf untuk menutup kepala seperti wanita Muslim.
“Ingatkan dia India Muslim. Pernah juga cuba beri salam, tapi dia tak jawab. Saya anggap, dia mungkin tak dengar masa tu. Kebetulan tak perasan ada tanda pada dahi dia.
“Masuk bulan kedua saya kerja di sini, baru dapat tahu daripada rakan-rakan yang dia bukan beragama Islam,” katanya yang memberitahu Kaliyani lebih mesra dipanggil Kalai.
Berbalik kisah Kaliyani, katanya, dia memilih menutup kepala semasa melakukan tugas pembersihan kerana selesa.
“Kalau tak pakai skarf, telinga rasa sakit sebab sejuk kena pendingin hawa. Kemudian hidung tak berhenti bersin. Pada masa sama, dapat elak rambut terkena habuk.
“Banyak kebaikan bila tutup kepala macam ni. Memang ramai yang tanya kenapa saya pakai skarf tapi lama-kelamaan dah lali dengan soalan tu,” katanya.
0 Response to " “Leha oh Leha... mari sini kejap!!""
Post a Comment